Wednesday 30 March 2016

Khasiat Tumbuh-tumbuhan



  BAWANG PUTIH ( Allium sativum ) 



Herba Bawang putih merupakan antara tumbuhan yang digunakan di dalam masyarakat Malaysia di dalam memasak makanan terutamanya untuk menumis. Walaupun baunya kurang enak tetapi mutakhir ini ciri-ciri perubatan menakjubkan yang terdapat pada bawang putih semakin terserlah. Pakar herba telah lama menganggap bawang putih sebagai " herba atau makanan ajaib" kerana unsur perubatan dan antibiotik yang ada padanya dapat membersihkan sistem tubuh dan mencegah pelbagai penyakit. Rekod Sanskrit menunjukkan bawang putih telah digunakan sebagai bahan perubatan tradisional hampir 5,000 tahun dahulu, manakala masyarakat Cina menggunakannya sejak 2,000 tahun dahulu. Khasiat bawang putih yang selalu diperkatakan oleh pengamal perubatan tradisional digunakan di dalam ramuan tonik wanita selapas bersalin, untuk mengeluarkan angin di dalam badan, mengatasi masalah usus dan penghadaman serta masalah parasit. Masyarakat Cina pula percaya bahawa bawang putih dapat menyembuhkan luka dengan cepat dan melegakan sakit reumatik. Bawang putih yang dimakan mentah pula berupaya untuk merawat asma, artritis, selesema, jangkitan sinus dan sakit tekak.


Antibarah


 Para penyelidik telah menemui sebatian unik di dalam bawang putih iaitu Allican yang mengandungi khasiat perubatan semulajadi seperti ciri antibakteria, antivirus, antibarah dan mencegah penyakit jantung. Bahan ini juga mampu merencat pertumbuhan tumor dengan merencat pembahagian dan pembesaran sel-sel. Allican juga berupaya untuk membaiki dan menguatkan sistem pertahanan tubuh seseorang. Sebatian allil disulfida yang terdapat di dalam bawang putih turut membantu mencegah pertumbuhan tumor malignan ( ganas ).

 Penyelidikan yang dilakukan di China pada tahun 1991 telah membuktikan bahawa seseorang yang kerap atau mengamalkan memakan bawang putih dapat mengurangkan kadar serangan barah perut. Hal yang sama juga berlaku di Peking, kadar kematian disebabkan penyakit barah di dapati rendah bagi penduduk yang kerap memakan bawang putih secara berterusan. Mereka mengambil sehingga 200g bawang putih setiap hari. Hal sebaliknya berlaku kepada orang yang tidak memakan bawang putih, mereka lebih mudah diserang penyakit barah. Namun begitu masih belum terdapat bukti kukuh menyatakan bahawa dengan mengamalkan pengambilan bawang putih dapat mengelakkan diri manusia dari penyakit barah secara keseluruhannya. 

Selain berupaya mengurangkan kadar penyakit barah, bahan Allican dapat mengurangkan tahap kolestrol sehingga 19% disamping berupaya menghalang pengumpalan platlet darah, meningkatkan aliran darah dan merendahkan tekanan darah. Penemuan ini diperolehi melalui penyelidikan penyakit jantung di Yayasan Jantung British dan Jabatan Kesihatan Umum di Oxford. 

Secara tradisional, penggunaan bawang putih untuk mengurangkan penyakit jantung telah lama diamalkan oleh penduduk Mediterranean dan juga negara-negara Asia di mana bawang putih mudah diperolehi. Di China dan Jepun, bawang putih telah digunakan untuk merawat darah tinggi ( hypertension ). Herba ini juga telah dibuktikan dapat mengurangkan lemak dan gula di dalam darah. Ia mengandungi komponen antikoagulan iaitu sejenis bahan yang bertindak sebagai pembersih darah, mengawal penyakit jantung dan strok. Bagi pesakit jantung, kesan bawang putih lebih efektif daripada aspirin kerana kandungan Allican dapat merencat pengumpulan platlet yang boleh menyumbat saluran darah tanpa mengganggu fungsi enzim.

Antimikrob 

Menurut sejarah, Louis Pasteur ( 1858 ) telah berjaya membunuh bakteria di dalam makmal dengan mencampurkan ekstrak bawang putih ke dalam media kalturnya. Kajian selanjutnya pula mendapati bahawa ekstrak bawang putih yang apabila dicampurkan bersama-sama medium kaltur akan merencat pertumbuhan bakteria, yis, kulat dan juga virus. Satu komponen kimia yang terdapat di dalam bawang putih ialah Ajoene yang berupaya merencat pertumbuhan lebih daripada 20 varieti kulat seperti Fusarium lini, Candida albicans dan Athlete's foot. Minyak yang diperolehi daripada bawang putih berkesan dalam merencat pertumbuhan bakteria berbahaya seperti Clostridium botulinum yang boleh mengakibatkan keracunan makanan. Ciri antimikrob ini boleh diperolehi daripada ekstrak bawang putih, daun serta minyaknya. Walaubagaimanapun bahan-bahan kimia yang bertindak sebagai antimikrob ini akan termusnah keseluruhannya jika dipanaskan pada suhu 100°C selama 20 minit. 



No comments:

Post a Comment