PEGAGA ( Centella asiatica ) - Kelebihan
Herba Khasiat pegaga telah lama diiktiraf di seluruh Asia. Masyarakat Cina menamakannya Ching Chow Sui manakala orang India memanggilnya Valeerai dan Gotu kola. Nama-nama ini telah tercatat dalam manuskrip Ayurvedic di India lebih 4,000 tahun dahulu dan Shennong Herbal di China sejak 2,000 tahun lalu.
Masyarakat India percaya bahawa pegaga dapat menyembuhkan penyakit kulit seperti kusta, kudis, ulser dan luka-luka. Pada tahun 1949 satu kajian telah dijalankan ke atas pegaga dan mendapati bahawa ia mujarab mengubati penyakit kusta dan ulser kerana ciri-ciri antibakteria yang ada padanya. Manakala penyelidikan yang dijalankan pada 1950 pula mendapati pegaga amat baik untuk menyembuhkan luka, kudis serta mengubati kerengsaan kulit.
Masyarakat Cina pula bergantung kepada pegaga untuk mengubati gangguan emosi seperti tekanan perasaan yang disebabkan oleh masalah fizikal. Ia adalah herba serbaguna untuk mengubah sistem saraf serta meredakan tekanan perasaan.
Pegaga telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( WHO ) sebagai herba yang menjana kecerdasan berfikir terutama di kalangan kanak-kanak. WHO memperakui bahawa pegaga kaya dengan pelbagai ramuan ubatan. Herba ini amat mujarab dan akan memperbaiki fungsi minda seperti meningkatkan daya ingatan dan penumpuan fikiran. Dr. Robert D. Willix Jr. dalam bukunya Health and Longevity Newsletter menggelar sebagai “herba ajaib” kerana ia dapat membantu peredaran darah serta meningkatkan kesihatan kulit.
Selain daripada khasiat-khasiat yang disebutkan pegaga juga telah lama digunakan sebagai tonik untuk membersihkan darah dan menghasilkan kulit yang sihat. Amalan meminum jus pegaga amat mujarab untuk membantu mereka yang bermasalah untuk tidur, merawat kerengsaan kulit serta tekanan darah tinggi. Daun pegaga yang diramas dengan sedikit air pula amat baik jika disapukan pada kudis dan luka. Pegaga juga memberi kesan kepada beberapa peringkat pembentukan tisu seperti menghilangkan parut, membina kolegan, merangsang pembentukan rambut dan kuku.
No comments:
Post a Comment